OGOS 2022

Sarawak Energy, CIDB Bina Keupayaan Pekerja


KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak akan memberi sokongan penuh kepada pihak yang sentiasa berusaha membangunkan keupayaan rakyatnya.

Beliau berkata, untuk membangun tenaga kerja berkemahiran termasuk pekerja dalam sektor pembinaan, Kerajaan Persekutuan dan Sarawak sentiasa melabur dalam meningkatkan kemudahan latihan seperti Pusat Kecemerlangan Teknikal (CENTEX) dan institusi seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Pembangunan pesat yang berlaku di negeri ini memerlukan lebih ramai pekerja terdiri daripada anak Sarawak yang mahir dan kompeten bagi memastikan tempoh penyerahan projek pembangunan mengikut jadual, katanya pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Sarawak Energy dengan CIDB di sini.

Beliau berkata, jika negeri ini mempunyai ramai pekerja mahir, projek pembangunan yang dilaksana mampu disiapkan mengikut jadual dan andaikata berlakunya lagi wabak seperti pandemik Covid-19, kelewatan menyiapkan projek pembangunan itu dapat dielakkan kerana Sarawak sudah memiliki ramai tenaga kerja mahir.

Menurut Abang Johari, dengan meningkatkan lagi kemahiran pekerja tempatan melalui program latihan seperti CIDB dan Sarawak Energy lakukan bersama akan turut menyokong usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat.

Selain itu, katanya, dengan membina keupayaan tenaga pekerja di Sarawak, kontraktor tempatan akan mendapati mudah mencari pekerja mahir daripada mencarinya di luar negara.

Ini juga akan memberi faedah kepada penyampaian projek seperti projek sub-stesen Sarawak Energy yang banyak menggunakan pekerja tempatan yang dapat menyiapkan projek berkenaan mengikut jadual.

Premier Sarawak turut menegaskan, beliau yakin agensi pusat dan negeri sentiasa mencari jalan membangunkan pekerja mahir di Sarawak bukan setakat untuk sektor pembinaan tetapi juga untuk semua industri di negeri ini.

MoU antara Sarawak Energy dan CIDB untuk membangunkan pekerja berkompitensi dengan mengadakan latihan perindustrian bagi mematuhi Akta 520 Ordinan Pekerjaan.

Latihan itu, kata Abang Johari, akan meningkatkan keupayaan pekerja dalam sektor pembinaan tempatan dan memastikan pekerja bukan setakat memenuhi keperluan pembangunan Sarawak Energy tetapi negeri ini secara amnya.

Beliau turut menasihati kontraktor supaya sentiasa mementingkan kebajikan pekerja termasuk kesihatan, keselamatan dan gaji bagi mengekalkan mereka terus bekerja dalam industri pembinaan.

Sumber dari : Jiwa Bakti